Tuesday, 30 January 2018

JURNAL : KEYAKINAN YANG KIAN MENGHILANG

  Hari ini merupakan hari yang sangat pelik buat diriku. Pagiku dimulakan dengan perasaan sayu tanpa sebarang sebab. Aku diganggu suatu perasaan yang aku sendiri tidak tahu. Perasaanku dicakar cakar resah. Aku berada dalam kesamaran untuk mencari jawapan tetapi fikiranku mulai buntu. Tanpa menangguhkan waktu , aku mula bersiap untuk ke surau bagi mencari cinta ilahi yang sejati. Setelah menunaikan solat, perasaanku sebentar tadi sudah mulai lenyap dari lensa ingatanku. Aku seperti disinari pancaran sinar harapan yang membuatkan aku kembali berkeyakinan. Aku segera mengambil sarapan bagi mengalas perutku yang kian berbunyi. Aku segera kembali ke bilikku dan bersiap untuk menghadiri sesi persekolahanku setelah lama bercuti. Aku mengenakan pakaian kegemaranku bagi memulihkan kembali semangatku untuk merentasi lautan ilmu yang baharu. Namun, aku telah tiba lewat ke perhimpunan.

  Setibanya di tapak perhimpunan, aku mendapati bahawa perhimpunan sudah lama bermula. Aku mula berasa sedikit kesal akan diriku sendiri. Aku dihantui kembali perasaan sedih yang sangat perit. Aku mula mengukir senyuman palsu di wajahku bagi mengelakkan pandangan serong daripada rakan rakanku. Setelah tamat perhimpunan, aku segera ke kelas bersama rakan rakanku yang lain. Sesi pembelajaranku bermula dengan begitu pantas tanpa ku sedari. Masa ibarat terlalu menceburui diriku bagi meneruskan sesi pembelajaranku. Aku dan rakan rakanku yang lain pergi untuk mengambil makanan yang telah siap terhidang di dewan makan. Aku makan dengan selera yang hambar. Ketika itu, aku sedar bahawa kedamaian yang cuma secubit kini sudah hilang daripada diriku. Aku segera kembali ke kelas tanpa ditemani oleh sesiapa. Kelas pada pagi itu diteruskan seperti biasa. 

  Setelah tamat proses pembelajaran, aku kembali ke bilikku untuk berehat seketika. Aku duduk di atas katilku sambil memikirkan kekosongan yang ku rasai. Aku segera menelefon ibuku bagi mendapatkan pandangan dan pendapat beliau mengenai masalah yang aku sedang tempuhi sendiri. Tanpa aku sedari, butir butir tangisan mula membasahi pipiku. Pada petang itu, aku baring di atas katilku untuk memikirkan kembali kata kata ibuku. Setelah itu, Aku segera bersiap untuk pergi ke padang bagi mengurangkan tekanan yang ku sedang hadapi. Aku diceriakan kembali melalui kemenangan dalam permainan bola tampar pada petang itu. Namun, aku terlihat rakanku di pasukan lawan tidak berasa sedih walaupun sedikit. Aku berasa sangat pelik dengan tingkah lakunya pada petang itu walaupun dikalahkan berkali kali dalam setiap perlawanan.
 
  Ketika di bilik, aku segera mendapatkannya bagi membantu diriku. Rakanku mula memberikan beberapa kata kata semangat buat diriku.Aku mula sedar bahawa kebahagian itu adalah pilihan diri kita sendiri. Kebahagiaan itu adalah milik setiap insan. Sekiranya kita bersedih, kita masih mampu untuk menceriakan diri sendiri dengan menangani perasaan itu. Pada malam itu, aku mula sedar bahawa musuh kepada diriku adalah diriku sendiri. Bukan orang lain yang kita perlu tangani namun hakikatnya adalah diri kita sendiri. Setiap dugaan dan cabaran yang kita tempuhi adalah untuk menguatkan diri kita, bukan untuk menjatuhkan diri kita. Ibarat layang layang yang sedang terbang, angin yang menentangnya bukan menjatuhkannya namun menaikkannya lebih tinggi di langit. Hatiku mulai riang kembali. Aku segera menyiapkan segala tugasan yang diberikan dengan perasaan yang gembira.

  Aku juga sedar bahawa kita hidup bukan untuk memuaskan orang lain tetapi untuk menguatkan diri kita sendiri. Aku juga perlu kuat untuk menempuhi cabaran kehidupan walaupun telah tersungkur beberapa kali persis peribahasa patah sayap bertongkat paruh. Pada malam itu, aku mampu untuk tidur dengan perasaan yang gembira dan ditemani perasaan tenang. Pada keesokannya, aku mulakan hariku dengan semangat serta aura positif bagi membantu meningkatkan keyakinan diriku. Senyuman orang keliling bagai kuntum kuntum mawar merah dijamah mentari pagi. Aku mula bersemangat dan kini semakin optimis dalam meneruskan kehidupan seharian. Aku mula memadam perasaan duka yang aku sendiri ukirkan dalam diriku daripada pintu hatiku.

 
 
 

Tuesday, 23 January 2018

RUMUSAN KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM KERTAS 2 PERLIS


        Petikan ini membincangkan usaha - usaha mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat dalam kalangan anak di Malaysia.

        Antaranya ialah Akademik Pediatrik Amerika mencadangkan beberapa kaedah bagi menyusun atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak yang sihat. Selain itu, ibu bapa perlu menentukan jenis makanan, tempat dan waktu makan untuk anak - anak mereka. Di samping itu, anak pula perlu bertanggungjawab untuk memilih kuantiti makanan yang perlu dimakan. Seterusnya, saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Kempen Gaya Hidup Sihat menggalakkan masyarakat mengambil makanan mengikut piramid makan dalam menu harian. Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan bersama - sama anak dalam tempoh yang kerap. Akhirnya, anak boleh dibawa berjumpa pakar pemakanan atau hadir ke pusat kesihatan supaya pemeriksaan kesihatan dilakukan dan khidmat nasihat yang sewajarnya diperoleh.

        Antara kepentingannya ialah mengurangkan kadar penyakit seperti obesiti dalam kalangan rakyat. Selain itu, tabiat pemakanan yang sihat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di Malaysia.

        Kesimpulannya, semua pihak perlu cakna terhadap pengambilan makanan agar mampu menjadikan Malaysia berada di antara negara - negara maju yang kurang kadar penyakitnya.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM PULAU PINANG 2018

KERTAS 2   Petikan membincangkan tentang kelebihan tarian sebagai medium perkembangan remaja di Malaysia.    Antara kebaikannya ialah ta...